Monday, 22 December 2014

Pembentangan Akhir : Cabaran Islam Liberal


Pembentangan akhir bagi subjek Kesusasteraan dan Falsafah Melayu (SKMM 6013) telah diadakan pada 17 Disember 2014 di Bilik Mesyuarat Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Pembentangan berkisar sekitar cabaran fahaman Liberalisme dengan Pandangan Islam.










Semoga fahaman Liberalisme ini dapat ditangani dengan baik agar kemaslahatan umat sejagat terbela. Umat Islam perlu berwasatiyyah dalam segala perkara dan istiqamah dalam membekalkan ilmu, amal dan yakin yang benar di dalam hati terhadap tuntutan agama. Agama telah sempurna, namun agama belum sempurna di dalam hati umat Islam. Maka, pengisian iman, amal dan taqwa diperlukan ibarat mengisi segayung air ke dalam kolah, walau zahirnya nampak seperti tiada perbezaan, namun percayalah, hakikatnya isipadu air tersebut telah bertambah. 



Daunan lebar menimpa dahan,
Sungguhlah lebat penuh berduri,
Jangan dicabar aturan Tuhan ,
Kelak dilaknat merana diri.

Tuesday, 9 December 2014

Ulasan Artikel Worldview of Islam (Pandangan Islam) Sebagai Framework Study Islam

Kecemerlangan akal (akliah) manusia menurut Islam diletakkan tingkat teratas dalam tubuh fizikal manusia. Dalam konteks pandangan hidup (worldview), manusia dilahirkan dengan bersifat fitrah, ingin mengenali sesuatu secara evolusi dalam kehidupan mereka. Islam merupakan pegangan atau addin (petunjuk) terunggul didalam kegulatan dan kerancuan fikiran mencari alternatif dan konsep-konsep menuju kehidupan yang syumul, dunia dan akherat. Ternyata fahaman sekular Barat telah memisahkan pandangan hidup ini, daripada dunia dan agama. Sebagai contoh, Prof.Syed Naquib al-Attas melihat pandangan hidup Islam menurut hukum metafizik, yakni berasakan sumber epistemologi, yang menjadi asas kepada kerangka dalam mentelaah sesuatu perkara.Menurut Islam, istilah pandangan hidup (world view) merujuk kepada makna rasional dan realiti yang tiada titik sempadan, meliputi kehidupan di dunia dan juga akherat. Syarat-syarat yang diusulkan oleh Prof. Syed Naquib, maksud pandangan hidup merupakan kebenaran tentang sesuatu kewujudan yang melibatkan sejarah, sosial, politik, budaya dan terakhir mestilah disandarkan kepada kehidupan di alam akherat.Pandangan hidup diumpamakan sebuah struktur bangunan yang dipenuhi kerangka dan memerlukan asas yang kukuh. Dalam maksud kerangka berfikir yang berasakan Islami. Jaringan fungsi berfikir dapat memenuhi kehendak atau matlamat dunia dan akherat.

Meskipun di dalam konsep dunia sekular masa kini, tidak semestinya memahami fahaman sekular, maka gagasan pemikiran ummah berpandukan aliran tersebut. Mamahami tidak bermaksud untuk mentaati. Pandangan tradisi tidak terlepas daripada perubahan epistemologi terkini yang memercu ke arah dunia modeniti. Pokok pangkalnya, konsep tersebut haruslah bersandarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Nilai-nilai dan peradaban akliah menurut kehendak Islam tidak akan mengalami perubahan sebagaimana menurut perspektif Barat.Menurut beliau lagi, pandangan hidup yang berteraskan Islam, harus mengutamakan konsep-konsep hakekat Allah SWT,Al -Quran, Penciptaan Alam dan Manusia, dan sebagainya. Saling kebergantungan di antara hakikat tersebut akan terserak dalam fikrah yang tidak dapat lari daripada agama Tauhid.





Thursday, 4 December 2014

Wasatiyyah : Pendekatan Baru di Malaysia

MENURUT Imam Mohamed Baianonie, istilah Arab, wasat, membawa tiga makna, iaitu  to be moderate, to be in the middle, and to be the best. Therefore, when Allah s.w.t describes the Muslim Ummah as a nation that is Wasat, Allah means that we are moderate, we are an Ummah that is in the middle, and that we are the best nation. Atawasoot in an Islamic sense means that the Muslim should try his best to be moderate in all of his affairs, and he should keep away from extreme practices and making extreme statements.


Kata Dr Ridhuan Tee, "alangkah hebatnya umat Islam jika mereka dapat menyelami dan memahami serta mempraktikkan konsep wasatiyyah ini."

Konsep ‘wasatiyyah’ ini ingin melahirkan masyarakat berimbang (sederhana), berteraskan perlembagaan persekutuan. Seperti gagasan 1Malaysia, konsep ini bukanlah sama rata dan sama rasa atau terletak di tengah-tengah seperti tidak miskin atau tidak kaya, tidak terlalu panas atau terlalu sejuk, persimpangan antara syurga dan neraka, tidak pandai atau tidak bodoh yakni sederhana sahaja. 

Tuntutan ‘wasatiyyah’ mahukan kita menjadi umat yang terbaik. Boleh menjadi kaya-raya tetapi jangan sampai hilang pedoman sehingga lupa tanggungjawab kepada Maha Pencipta dan makhluk yang dicipta. Boleh membangun, jangan sampai pembangunan itu merosakkan akal budi manusia dan alam sekeliling.


Kita tidak boleh terlalu mengejar dunia sehingga mengabaikan akhirat. Begitu juga sebaliknya, terlalu mengejar akhirat, hingga melupakan dunia. Apapun, kena berimbang. Nabi pernah menegur beberapa sahabat yang terlalu mementingkan akhirat sehingga melupakan nikmat dunia, misalnya tidak mahu berkahwin kerana ada yang menganggap perkahwinan itu hanyalah mainan dunia sehingga boleh melalaikan tanggungjawabnya kepada Pencipta. Tetapi Nabi juga berkahwin, bermakna dunia adalah jambatan ke akhirat. Jadikanlah kehidupan dunia sebagai semaian benih kebajikan terbaik untuk mendapat ganjaran di akhirat.


FirmanNya dalam surah at-Taubah, ayat 42, yang bermaksud“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.”

Memang menjadi tabiat semulajadi manusia jika membuat sesuatu pekerjaan, dia mahu melihat natijahnya dengan segera. Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 37, yang bermaksud: “Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya.”



Apa guna tilam yang mahal dan empuk, jika tidak dapat tidur yang nyenyak? Apa guna mahligai besar, jika suasananya sunyi sepi ibarat kubur? Apa guna wang dan harta jika tidak dapat membeli bahagia? Alangkah indahnya hidup ini, jika kita dapat kesemuanya, pada masa sama kita bahagia, ceria dan dapat tidur dengan nyenyak. Semuanya itu adalah anugerah daripada Allah s.w.t.



Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) ditubuhkan sejajar dengan iltizam YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah mengetengahkan pendekatan kesederhanaan ataupun wasatiyyah dalam mengemudi umat dan negara bagi menghadapi cabaran pada masa sekarang dan akan datang.
Justeru itu, Institut Wasatiyyah Malaysia ditubuhkan atas beberapa objektif :
  • Menyumbang ke arah membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang menghayati nilai-nilai dan etika yang unggul berteraskan konsep wasatiyyah dalam segenap aspek kehidupan. Memberi tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang, serta keadilan sosial.
  • Menjadi pusat kepada perkembangan dan percambahan idea bagi membanteras segala kegiatan ekstremis.
  • Mengumpulkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang untuk berbincang, memberikan pandangan dan menganalisa perkara yang berkaitan wasatiyyah

Sesuatu tindakan yang boleh disifatkan bijaksana, dalam pendekatan falsafah Melayu ialah menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus manakala tepung tidak terburai.
Tindakan menggunakan pendekatan sederhana dan seimbang bukan bermakna pengecut ataupun terlalu berlembut. Ia adalah sebuah pendekatan yang dalam konteks psikologi pengurusan atau perundingan ialah strategi "menang-menang" dan dalam keadaan itulah ia dinamakan sebagai "situasi bijaksana."

Kebijaksanaan itulah yang amat diharapkan lahir daripada jiwa manusia yang sanggup mendahulukan rakyat dan melonjakkan prestasi, dan bukannya daripada mereka yang hanya tahu bercakap, mengkritik, mencaci dan merendah-rendahkan keupayaan orang lain bagi menutup kelemahannya.



Sikap melampau memang sentiasa berada dalam kerugian, kerana yang dikejar itu adalah bayang-bayangnya sendiri yang hanya muncul sekadar visual dan bukannya berbingkai serta boleh dipegang. 

Syed Muhammad Naquib Al-Attas : Worldview Islam






'From the perspective of Islam, a 'worldview' is not merely the mind's view of the physical world and of man's hostorical, social, political and cultural involvement in it as reflected, for example, in the currenment in it as reflected, for example, in the current Arabic expression of the idea formulated in the phrase nazrat al-islam li al-kawn.'...



Apakah pengertian bagi istilah Arab yang merujuk kepada 
nazrat al-islam li al-kawn ?
Ia merujuk kepada spekulasi akal atau falsafah dalam mencari kebenaran. Umum mengetahui bahawa Islam sangat kaya dengan tradisi keilmuan dan berilhamkan ajaran serta prinsip Al-Quran dan sunnah Rasulullah.




Melalui artikel ini, pemakalah lebih memperihalkan tentang pandangan dari sudut Islam itu sendiri. Pandangan Islam bukan hanya tertumpu kepada fizikal (sesuatu nyata yang dapat dilihat dengan pancaindera) dan logik akal semata-mata walhal mencakupi kehidupan di dunia dan akhirat. Dunia ibarat jambatan menuju ke kampung akhirat yang kekal selamanya (abadan abada). Namun, Islam tidak pernah mengajar umatnya menolak dunia sepenuhnya malahan menyaran agar berusaha seolah-olah akan hidup 1000 tahun lagi tetapi meletakkan batas agar tidak mengejar dunia tanpa bekalan di Akhirat sana. Beribadahlah seolah-olah kamu akan mati esok, menuntut umat Islam agar sentiasa bersegera membuat kebajikan dan ingat (zikir) Allah pada setiap waktu dan ketika walau di mana jua berada. Dunia sebagai jambatan, bererti sebagai tempat sementara yang menjadi persinggahan kerana destinasi utama adalah Akhirat. Segala bekalan hanya dapat disemai di dunia ini kerana Akhirat tempat perhitungan balasan baik dan buruk. Umat hari ini tidak sedar bahawa apabila terputus nyawa dari jasad, maka bermulalah kehidupan Akhirat seorang hamba. Manusia sejak dalam rahim ibu telah menzahirkan keimanan namun dihantar ke atas muka bumi atas maksud ujian. Setiap orang berlainan ujian yang diterima. Setiap ujian adalah tanda kasih sayang seorang Pencipta kepada hambanya dan pastinya tersirat seribu satu hikmah. Ujian adalah tarbiyyah dari Allah. Iman ibarat elektrik. Jika tiada elektrik, maka penghawa dingin tidak berfungsi, kipas tidak dapat berpusing, lampu tak dapat menyala; begitulah dengan amalan kita apabila iman lemah, maka nak baca Quran pun payah, solat pun malas. Sebaliknya, jika iman sedang meningkat, sehari dapat habiskan 1 juz Quran dan sebagainya. Iman adalah meyakini 100% perkara-perkara ghaib dan hanyasanya Allah jua yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, selain daripada Allah adalah makhluk ciptaanNya. Benda ghaib seperti syurga, neraka, dosa, pahala dan lain-lain perlu diyakini oleh umat Islam kerana semua itu adalah tanda keagungan dan kebesaran Allah. Oleh sebab itu, segala ganjaran pahala tidak dizahirkan Allah untuk melihat keyakinan hambaNya terhadap janji Allah. Sesungguhnya janjiNya adalah benar dan pasti. Innala la tuhliful mia'ad yang bermaksud Allah tidak pernah memungkiri janji. 






Dunia ini tidak bersalah kerana Allah jualah yang menciptakan segala yang berada di atas 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Akan tetapi, manusia itu sendiri yang menjadikan ia sebagai manfaat atau mudarat. Saya boleh ibaratkan dunia umpama pisau; terpulang kepada penggunanya. Jika pisau tersebut digunakan oleh tukang masak untuk memotong daging dan sayur, maka ia memberi manfaat untuk menghasilkan sebuah hidangan buat tetamu. Walhal, sekiranya pisau tersebut digunakan untuk membunuh orang, maka ia telah membawa mudarat. Dunia ini bukan tempat untuk kita tinggal selama-lamanya, tetapi untuk kita tinggalkan menuju Akhirat yang selama-lamanya. Barat hanya memandang kehidupan mereka terpisah dengan agama berdasarkan logik akal sedangkan umat Islam bertauhidkan Allah yang Maha Esa. Zat Allah tidak dapat digambarkan melalui keterbatasan akal manusia yang terhad terhadap rupa fizikal, tetapi cukup sekadar melihat kepada kebesaranNya yang Maha Hebat. Tidak akan wujud alam semesta yang ditadbir elok sebegitu rupa tanpa ada Pencipta yang Maha Berkuasa, yakni Allah. Sifat 20 Allah yang membezakan keagungan sifat Allah dengan makhluk ciptaanNya. Allah wujud tiada bertempat, Allah berdiri dengan sendiri dan lain-lain. Ilmu manusia berbanding ilmu Allah ialah ibarat setitis air di lautan luas tiada penghujung.






Islam bukanlah agama dan sistem pemikiran yang muncul melalui unsur budaya yang dibantu oleh ilmu sains semata-mata. Sebaliknya, merupakan agama wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para nabi untuk disebarkan kepada umat. Syed Naquib Al-Attas juga berpendapat bahawa ilmu bukan dimiliki oleh akal manusia dan hasil perolehan sifat. Bahkan, ilmu perlu dipertimbangkan kesahihan pendapatnya. Islam adalah agama yang benar dengan ayat-ayat yang diturunkan Allah SWT sebagai panduan orang Islam. Kitab ini merupakan wahyu terbesar yang diturunkan dan dijamin keasliannya dalam mengenal PenciptaNya. Dalam Islam, kewujudan Tuhan adalah melalui wahyu yang diturunkan para nabi dan rasul dalam mengenal Tuhan yang Esa (makrifatullah)  iaitu Allah S.W.T.


Dalam Surah Al-Kahfi Allah SWT menyebut, maksudnya:
' Sesungguhnya Kami telah jadikan apa-apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya.'
                                                                                           (Surah al-Kahfi 18:7)



Dunia tanpa sempadan yang serba canggih bagaikan sumpahan yang merasuki manusia sehingga taksub dengan ciptaan teknologi. Dunia di hujung jari membuatkan manusia leka dan asyik dengan gajet dan aplikasi terkini yang membuatkan ketagihan hingga terlepas kewajipan yang dituntut dalam agama. Malang sekali, akidah juga terjual dek kealpaan sendiri yang dikaburi limpahan kemodenan yang bersifat sementara. Kehidupan sehari-hari bagai tiada arah tujuan, ibarat memanah tanpa sasaran hinggakan lupa maksud sebenar manusia dihidupkan atas muka bumi ini. Lirik lagu Fata Morgana nyanyian Hijjaz menyatakan bahawa harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa lelaki yang beriman sebagai ujian.




Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.AW. menerusi al-Quran untuk disebarkan kepada umat manusia. Oleh itu, al-Quran menjadi panduan dan rujukan kepada umat Islam dalam kehidupan seharian. Sifat-sifat Allah, sirah para anbia, kejadian alam dan sebagainya terakam di dalamnya. Setiap perlakuan, tindakan, pemikiran haruslah berteraskan ajaran Islam agar tidak terpesong dari syariat yang digariskan oleh Allah S.W.T.  Justeru itu, pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran dapat dijadikan rujukan bagi mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Jelaslah bahawa pandangan hidup Islam mementingkan kehidupan akhirat dan dunia adalah persinggahan yang sementara, yang kekal hanyalah akhirat yang ditunjangi bekalan yang dilakukan semasa di dunia.

Dikotomi ilmu Islam yakni ilmu fardhu 'ain dan ilmu fardhu kifayah adalah jenis ilmu yang ditetapkan oleh syarak.  Tunjang keimanan yang menjadi rukun; percaya kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, hari Akhirat serta Qada' dan Qadar tidak boleh difikirkan melalui pendekatan saintifik, mantik dan rasional. Hakikatnya, kekuasaan Allah tidak dapat terfikir oleh akal manusia yang terbatas. Kisah para anbiya' yang banyak diceritakan hanyalah sedikit dari keagunganNya. Lihat, bagaimana pemuda Ashabul Kahfi yang 109 tahun di dalam gua tanpa satu asbab makanan untuk hidup mampu bernyawa lagi. Begitu jua, Nabi Musa yang membelah lautan dengan tongkat, walhal dari segi logik akal takkan terjadi sebegitu rupa. Inilah sebahagian kehebatanNya yang cuba dinafikan oleh Barat kerana keegoan mereka. Begitu juga dengan sains, Allah itu adalah Pencipta sains itu sendiri. Sains adalah ilmu yang berusaha untuk memahami tabii alam secara sistematik. Namun, apabila pengamal sains tidak mempunyai pegangan iman, maka kerosakan ekosistem dan pencemaran alam yang berterusan adalah hasil tangan pengaut untung berganda. Mereka mahu dikatakan sebagai masyarakat yang maju kehadapan, hingga ingin membuktikan kehebatan mereka di mata dunia seperti mengkomersialkan pembedahan plastik, pemakaian susuk dan sebagainya sedangkan mencipta sebelah kepak nyamuk pun tak mampu. Sesungguhnya, manusia adalah makhluk sebaik-baik ciptaan Allah. 







Al-Quran mengajak manusia berfikir, menilai wahyu dengan teliti dan rasional. Firman Allah yang bermaksud: 'Patutkah mereka tidak mahu memikirkan isi al-Quran ? Kalaulah al- Quran itu tidak datang dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.' ( Surah al-Nisa' 4:82)




Fikirlah dengan mata hati kerana di situ ada jawapan sebenar. Pandangan mata selalu menipu, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan HATI itu yang hakiki.



Wednesday, 3 December 2014

Novel Faisal Tehrani : Benarkah Berunsur Syiah ?




Berbekal prinsip penulisan kerja kita sebagai sasterawan adalah pertamanya,  kerja sebagai pengawal masyarakat; keduanya, kerja menjadi tukang cakap aspirasi ummah; ketiganya kerja sebagai rujukan bangsa di saat mereka menghadapi persoalan yang menekan; keempatnya, kerja sebagai tali pengikat atau integrator supaya dapat membangunkan potensi masyarakat, Faisal Tehrani seorang karyawan yang tidak asing lagi di negara ini telah banyak menghasilkan karya yang boleh dikatakan sebagai karya 'berat' menguji pemikiran dan tafsiran pembaca . Faisal Tehrani, atau nama sebenarnya Dr Faizal bin Musa merupakan graduan lulusan Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seringkali memenangi hadiah hasil tulisan seninya. Beliau pernah mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara di Jakarta dan Bogor pada tahun 1999. 








Kejayaan

Beliau mula menulis secara serius pada 1992, dengan cerpen pertamanya dengan judul Anastasia yang tersiar di majalah Muslimah . Faisal semakin dikenali di khalayak sastera pada tahun 1994 apabila beliau memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994 melalui cerpen Anak dan cerpen Opah . Pada tahun yang sama beliau menggondol Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat (kini sudah tiada), menerusi cerpen Malam Ini Philadelphia Menangis.
Kejayaan ini diikuti pada tahun 1995 apabila beliau memenangi sekali Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan Kedua. Tahun 1996 Faisal dikurniakan rezeki memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank dengan cerpen Perempuan Anggerik dan cerpen Api KL Belum Terpadam, Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS kelapan dengan cerpen Menanti Subuh. Dalam tahun 1997, cerpen Surat Untuk Gabe 1 memenangi Hadiah Sastera Karya.
Faisal seterusnya memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia pada tahun 1998 (dengan cerpen Cinta Gendang Kasturi), 1999 (cerpen Bulan dan Wira dan puisi Sesudah Hujan Dahlia) dan dalam tahun 2000 dengan cerpen Irisan-irisan Mimpi dan Syahid Raja Api. Faisal juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 96/97 dengan cerpen Perempuan Anggerik. Cerpen beliau ini diterjemahkan ke bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta diadaptasi ke dramatari oleh kareografer terkenal Adikara Dance Theatre, Jasni Abdul Hamid pada 29 Julai 2001. Dalam tahun 2001 juga Faisal memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam dengan cerpen Cahaya Pada Jiwa. Salah sebuah cerpen Faisal iaitu Kerana Manisnya Epal terkandung dalam komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu bagi Tingkatan Empat. Dua kumpulan cerpen mini beliau diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997) dan Safari Gilgit (1997).

Kontroversi









Pemenang Anugerah Seni Negara tahun 2006 itu menerima sepucuk surat rasmi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pengharaman 3 karyanya pada penghujung tahun 2013 iaitu kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu, drama pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah setelah dua buah novel, Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan sebelum ini.

Katanya, 
"saya menyerahkan kepada pembaca-pembaca saya untuk menilai karya-karya saya tersebut. Adalah jelas ini satu pembulian." Beliau akan menghubungi Front Line Defenders (FLD), sebuah badan hak asasi manusia berpengaruh yang berdaftar dengan 'Special Rapporteur on the situation of human rights defenders', Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) untuk mendapat nasihat lanjut dan tidak akan berhenti dari mengeluarkan nukilan ilmiah atau novel pada masa hadapan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim, Mohd Aizam Mas'od dilaporkan MyMetro kelmarin sebagai berkata, berlaku penyusupan idea ajaran Syiah melalui novel Perempuan Nan Bercinta. "Ini sangat bahaya kerana penulisannya mempromosikan Syiah dan mutaah, antara hujahnya adalah mutaah bukan bertujuan seks tetapi menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita, malah penulis juga bermain dengan pemikiran rasional orang ramai.


Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan satu karya penulis terkenal Faisal Tehrani sebagai sebuah "pembohongan" dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut di sebuah akhbar tabloid. "Kita boleh terima kepelbagaian, kita boleh terima pelbagai tafsiran, tetapi bukan pembohongan. Dalam suratnya, beliau menyifatkan Faisal menggunakan "hadis palsu untuk mengagungkan Syiah" dan menggunakan "pegangan dan fahaman Syiah mengenai sambutan Asyura siri novel Ketupat Cinta."

Pandangan Peribadi


Sungguhpun pelbagai tohmahan dan pengharaman karya Faisal Tehrani belakangan ini, namun ada lagi pembaca yang masih mengikuti hasil tulisan tangan beliau. Tidak dapat dinafikan kebanyakan novel beliau berunsur Syiah; seperti Karbala, 1515, Perempuan Nan Bercinta dan sebagainya tetapi atas dasar tujuan apa beliau menulis sama ada untuk memberi kefahaman atau sebaliknya menjadi kebimbangan pihak berwajib dan masyarakat. Sesungguhnya, hal ini dapat memberikan kita satu petanda agar lebih berhati-hati dalam menghayati karya berat yang terselit agama dan soal akidah yang mampu memberi implikasi yang hebat jika disalah tafsir. Langkah pengharaman oleh JAKIM pastinya mempunyai sebab musabab yang sahih demi kemaslahatan umat. Sebaiknya, karya begini ditapis dan mendapat pandangan mereka yang 'ahli' terlebih dahulu agar kecelaruan umat tidak bertambah teruk. Bahan bacaan sebegini pada pandangan saya tidak sesuai untuk semua lapisan umur kerana ufuk pembacaan yang tinggi dalam memahami isi kandungan dan mesej yang ingin disampaikan agak kabur dan boleh menyesatkan jika dipengaruhi emosi dan salah tafsir. 




Bagi anda, adakah novel Faisal Tehrani boleh dianggap sebagai cerminan budaya bangsa? 

Tepuk dada, tanya iman.   

Tuesday, 2 December 2014

Persuratan Baru : Satu Teori Baru Mengangkat Karya Cerminan Budaya Bangsa





Gagasan Persuratan Baru yang ditunjangi Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan merupakan satu teori baru yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan penggiat sastera tanah air. Teori ini terhasil bagi menolak teori kesusasteraan gaya lama yang berkiblatkan barat. Persuratan Baru menekankan konsep ilmu yang benar yakni ilmu yang dapat mendekatkan diri dengan Tuhan. Karya yang sarat pengajaran dan mengangkat estetika tauhid dan taklif menjadi tunjang kepada gagasan ini. Unsur lagha (melalaikan) dan realisme yang melampau seperti kandungan teks bersifat tahyul (kayangan), lucah dan menjauhkan manusia dari kebenaran dan Pencipta ditolak sama sekali dengan pendirian gagasan ini. Kalau dalam sesebuah karya kesusasteraan plot dianggap penting bagi menyampaikan cerita yang di baliknya harus terkandung falsafah, maka persuratan baharu adalah sebaliknya, iaitu plot tidak lagi penting, tetapi hanya semata-mata sebagai alat bagi menyampaikan ilmu. Hal ini menjadikan karya yang ada nasihat dakwah mengajak manusia kembali mengingati Tuhan sebagai satu karya yang menjadi cerminan budaya bangsa. 


Kata Afandi Hassan,


"saya tidak mahu dinista oleh generasi akan datang yang melihat dengan rasa kecewa yang berat kerana membiarkan mereka berada dalam kekeliruan, padahal ada kemampuan untuk membetulkannya, dan ada pula ruang yang boleh digunakan untuk maksud itu. Itulah makna amanah yang sebenarnya, yang mesti ditunaikan dengan gembira. Tidak melakukannya bererti telah mengkhianati amanah itu. Tidak mahu membetulkan kesilapan pun satu pengkhianatan juga, kerana membiarkan kekeliruan berpanjangan dan berasa selesa pula berada dalam kekeliruan itu, maka itu pun pengkhianatan terhadap ilmu yang tidak wajar diteruskan oleh orang-orang yang menggelar diri mereka ilmuwan atau ahli akademik, atau sarjana."


Buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik karangan Dr Norhayati Binti Ab. Rahman yang memenangi Anugerah Buku Kajian pada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012 & Anugerah Penerbitan Buku Terbaik pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2013 menjadi suatu kritikan pada pandangan gagasan Persuratan Baru walaupun buku ini diangkat sebagai buku terbaik yang menjadi rujukan banyak pihak.




Rata-rata kagum dan takjub dengan tulisan Dr Norhayati yang mengatakan tumpuan buku ini menemukan secara perbandingan kewibawaan pengarang wanita dari kedua-dua negara dalam usaha membentuk keperibadian diri mereka sebagai “pengarang wanita” yang utuh, yakni memiliki sifat jati diri atau keperibadian tersendiri. Jati diri yang dimaksudkan ialah pendirian dan ketegasan mereka untuk membuktikan bahawa mereka adalah subjek yang mempunyai imej, pengalaman, suara, keinginan, wawasan, bahasa, budaya dan estetika mereka yang tersendiri. Dengan corak dan semangat pengkaryaan yang demikianlah mereka dikatakan berjaya membentuk konsep dan estetika penulisan sastera yang diberikan nama “Puitika Sastera Wanita”. Sorotan 8 novel yang terkandung dalam kajian beliau antaranya Menongkah Lumrah, Salam Maria, Saman dan lain-lain mengangkat penulis wanita ke arah satu tingkat yang lebih tinggi kerana berjaya mencari keberanian meluahkan emosi dan harapan wanita yang lama terpendam.



Walaubagaimanapun, Persuratan Baru tidak sependapat kerana merasakan wanita itu seharusnya tidak menonjolkan unsur keberanian yang dianggap melampau dengan merasakan diri tercabar apabila tidak berpeluang menterjemahkan keterbukaan jalan cerita berunsur lucah. Misalnya, Salam Maria tulisan Fatimah Busu dikatakan tidak berilmu dan tidak menepati ciri-ciri Islam yang sebenar apabila watak pelacur Kristian berpenyakit siflis diberikan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat sebagai wanita solehah, berstatus wali dan baik seperti sifat kenabian. Hal ini memberikan keutamaan kepada penceritaan berbanding ilmu yang ingin disampaikan. 'Keberanian' mencipta konflik dan jalan cerita yang berunsur seks dan mengangkat golongan pelacur ke taraf yang dipandang mulia menjadi kegusaran pada Persuratan Baru kerana bimbang kisah sebegini diterima dan 'ditiru' oleh golongan masyarakat hari ini. Maksud sebenar keberanian wanita bukanlah seperti mana yang dibawa dalam kajian di dalam buku Dr Norhayati ini. 




Apapun, bagi saya, Persuratan Baru sangat baik dalam mengangkat karya sebagai cerminan budaya bangsa, namun pendekatan yang lebih murni dan hikmah perlu diberi perhatian agar penerimaan sarwajagat lebih terbuka dan menyeluruh. Umpama yang tertulis dalam surah Al-Asr;

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman, dan yang beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran.