Berbekal prinsip penulisan kerja kita sebagai sasterawan adalah pertamanya, kerja sebagai pengawal masyarakat; keduanya, kerja menjadi tukang cakap aspirasi ummah; ketiganya kerja sebagai rujukan bangsa di saat mereka menghadapi persoalan yang menekan; keempatnya, kerja sebagai tali pengikat atau integrator supaya dapat membangunkan potensi masyarakat, Faisal Tehrani seorang karyawan yang tidak asing lagi di negara ini telah banyak menghasilkan karya yang boleh dikatakan sebagai karya 'berat' menguji pemikiran dan tafsiran pembaca . Faisal Tehrani, atau nama sebenarnya Dr Faizal bin Musa merupakan graduan lulusan Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seringkali memenangi hadiah hasil tulisan seninya. Beliau pernah mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara di Jakarta dan Bogor pada tahun 1999.
Kejayaan
Beliau mula menulis secara serius pada 1992, dengan cerpen pertamanya dengan judul Anastasia yang tersiar di majalah Muslimah . Faisal semakin dikenali di khalayak sastera pada tahun 1994 apabila beliau memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994 melalui cerpen Anak dan cerpen Opah . Pada tahun yang sama beliau menggondol Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat (kini sudah tiada), menerusi cerpen Malam Ini Philadelphia Menangis.
Kejayaan ini diikuti pada tahun 1995 apabila beliau memenangi sekali Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan Kedua. Tahun 1996 Faisal dikurniakan rezeki memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank dengan cerpen Perempuan Anggerik dan cerpen Api KL Belum Terpadam, Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS kelapan dengan cerpen Menanti Subuh. Dalam tahun 1997, cerpen Surat Untuk Gabe 1 memenangi Hadiah Sastera Karya.
Faisal seterusnya memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia pada tahun 1998 (dengan cerpen Cinta Gendang Kasturi), 1999 (cerpen Bulan dan Wira dan puisi Sesudah Hujan Dahlia) dan dalam tahun 2000 dengan cerpen Irisan-irisan Mimpi dan Syahid Raja Api. Faisal juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 96/97 dengan cerpen Perempuan Anggerik. Cerpen beliau ini diterjemahkan ke bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta diadaptasi ke dramatari oleh kareografer terkenal Adikara Dance Theatre, Jasni Abdul Hamid pada 29 Julai 2001. Dalam tahun 2001 juga Faisal memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam dengan cerpen Cahaya Pada Jiwa. Salah sebuah cerpen Faisal iaitu Kerana Manisnya Epal terkandung dalam komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu bagi Tingkatan Empat. Dua kumpulan cerpen mini beliau diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997) dan Safari Gilgit (1997).
Kontroversi
Pemenang Anugerah Seni Negara tahun 2006 itu menerima sepucuk surat rasmi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pengharaman 3 karyanya pada penghujung tahun 2013 iaitu kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu, drama pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah setelah dua buah novel, Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan sebelum ini.
Katanya, "saya menyerahkan kepada pembaca-pembaca saya untuk menilai karya-karya saya tersebut. Adalah jelas ini satu pembulian." Beliau akan menghubungi Front Line Defenders (FLD), sebuah badan hak asasi manusia berpengaruh yang berdaftar dengan 'Special Rapporteur on the situation of human rights defenders', Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) untuk mendapat nasihat lanjut dan tidak akan berhenti dari mengeluarkan nukilan ilmiah atau novel pada masa hadapan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim, Mohd Aizam Mas'od dilaporkan MyMetro kelmarin sebagai berkata, berlaku penyusupan idea ajaran Syiah melalui novel Perempuan Nan Bercinta. "Ini sangat bahaya kerana penulisannya mempromosikan Syiah dan mutaah, antara hujahnya adalah mutaah bukan bertujuan seks tetapi menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita, malah penulis juga bermain dengan pemikiran rasional orang ramai.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan satu karya penulis terkenal Faisal Tehrani sebagai sebuah "pembohongan" dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut di sebuah akhbar tabloid. "Kita boleh terima kepelbagaian, kita boleh terima pelbagai tafsiran, tetapi bukan pembohongan. Dalam suratnya, beliau menyifatkan Faisal menggunakan "hadis palsu untuk mengagungkan Syiah" dan menggunakan "pegangan dan fahaman Syiah mengenai sambutan Asyura siri novel Ketupat Cinta."
Pandangan Peribadi
Sungguhpun pelbagai tohmahan dan pengharaman karya Faisal Tehrani belakangan ini, namun ada lagi pembaca yang masih mengikuti hasil tulisan tangan beliau. Tidak dapat dinafikan kebanyakan novel beliau berunsur Syiah; seperti Karbala, 1515, Perempuan Nan Bercinta dan sebagainya tetapi atas dasar tujuan apa beliau menulis sama ada untuk memberi kefahaman atau sebaliknya menjadi kebimbangan pihak berwajib dan masyarakat. Sesungguhnya, hal ini dapat memberikan kita satu petanda agar lebih berhati-hati dalam menghayati karya berat yang terselit agama dan soal akidah yang mampu memberi implikasi yang hebat jika disalah tafsir. Langkah pengharaman oleh JAKIM pastinya mempunyai sebab musabab yang sahih demi kemaslahatan umat. Sebaiknya, karya begini ditapis dan mendapat pandangan mereka yang 'ahli' terlebih dahulu agar kecelaruan umat tidak bertambah teruk. Bahan bacaan sebegini pada pandangan saya tidak sesuai untuk semua lapisan umur kerana ufuk pembacaan yang tinggi dalam memahami isi kandungan dan mesej yang ingin disampaikan agak kabur dan boleh menyesatkan jika dipengaruhi emosi dan salah tafsir.
Bagi anda, adakah novel Faisal Tehrani boleh dianggap sebagai cerminan budaya bangsa?
Tepuk dada, tanya iman.
No comments:
Post a Comment