Tuesday, 2 December 2014

Persuratan Baru : Satu Teori Baru Mengangkat Karya Cerminan Budaya Bangsa





Gagasan Persuratan Baru yang ditunjangi Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan merupakan satu teori baru yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan penggiat sastera tanah air. Teori ini terhasil bagi menolak teori kesusasteraan gaya lama yang berkiblatkan barat. Persuratan Baru menekankan konsep ilmu yang benar yakni ilmu yang dapat mendekatkan diri dengan Tuhan. Karya yang sarat pengajaran dan mengangkat estetika tauhid dan taklif menjadi tunjang kepada gagasan ini. Unsur lagha (melalaikan) dan realisme yang melampau seperti kandungan teks bersifat tahyul (kayangan), lucah dan menjauhkan manusia dari kebenaran dan Pencipta ditolak sama sekali dengan pendirian gagasan ini. Kalau dalam sesebuah karya kesusasteraan plot dianggap penting bagi menyampaikan cerita yang di baliknya harus terkandung falsafah, maka persuratan baharu adalah sebaliknya, iaitu plot tidak lagi penting, tetapi hanya semata-mata sebagai alat bagi menyampaikan ilmu. Hal ini menjadikan karya yang ada nasihat dakwah mengajak manusia kembali mengingati Tuhan sebagai satu karya yang menjadi cerminan budaya bangsa. 


Kata Afandi Hassan,


"saya tidak mahu dinista oleh generasi akan datang yang melihat dengan rasa kecewa yang berat kerana membiarkan mereka berada dalam kekeliruan, padahal ada kemampuan untuk membetulkannya, dan ada pula ruang yang boleh digunakan untuk maksud itu. Itulah makna amanah yang sebenarnya, yang mesti ditunaikan dengan gembira. Tidak melakukannya bererti telah mengkhianati amanah itu. Tidak mahu membetulkan kesilapan pun satu pengkhianatan juga, kerana membiarkan kekeliruan berpanjangan dan berasa selesa pula berada dalam kekeliruan itu, maka itu pun pengkhianatan terhadap ilmu yang tidak wajar diteruskan oleh orang-orang yang menggelar diri mereka ilmuwan atau ahli akademik, atau sarjana."


Buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik karangan Dr Norhayati Binti Ab. Rahman yang memenangi Anugerah Buku Kajian pada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012 & Anugerah Penerbitan Buku Terbaik pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2013 menjadi suatu kritikan pada pandangan gagasan Persuratan Baru walaupun buku ini diangkat sebagai buku terbaik yang menjadi rujukan banyak pihak.




Rata-rata kagum dan takjub dengan tulisan Dr Norhayati yang mengatakan tumpuan buku ini menemukan secara perbandingan kewibawaan pengarang wanita dari kedua-dua negara dalam usaha membentuk keperibadian diri mereka sebagai “pengarang wanita” yang utuh, yakni memiliki sifat jati diri atau keperibadian tersendiri. Jati diri yang dimaksudkan ialah pendirian dan ketegasan mereka untuk membuktikan bahawa mereka adalah subjek yang mempunyai imej, pengalaman, suara, keinginan, wawasan, bahasa, budaya dan estetika mereka yang tersendiri. Dengan corak dan semangat pengkaryaan yang demikianlah mereka dikatakan berjaya membentuk konsep dan estetika penulisan sastera yang diberikan nama “Puitika Sastera Wanita”. Sorotan 8 novel yang terkandung dalam kajian beliau antaranya Menongkah Lumrah, Salam Maria, Saman dan lain-lain mengangkat penulis wanita ke arah satu tingkat yang lebih tinggi kerana berjaya mencari keberanian meluahkan emosi dan harapan wanita yang lama terpendam.



Walaubagaimanapun, Persuratan Baru tidak sependapat kerana merasakan wanita itu seharusnya tidak menonjolkan unsur keberanian yang dianggap melampau dengan merasakan diri tercabar apabila tidak berpeluang menterjemahkan keterbukaan jalan cerita berunsur lucah. Misalnya, Salam Maria tulisan Fatimah Busu dikatakan tidak berilmu dan tidak menepati ciri-ciri Islam yang sebenar apabila watak pelacur Kristian berpenyakit siflis diberikan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat sebagai wanita solehah, berstatus wali dan baik seperti sifat kenabian. Hal ini memberikan keutamaan kepada penceritaan berbanding ilmu yang ingin disampaikan. 'Keberanian' mencipta konflik dan jalan cerita yang berunsur seks dan mengangkat golongan pelacur ke taraf yang dipandang mulia menjadi kegusaran pada Persuratan Baru kerana bimbang kisah sebegini diterima dan 'ditiru' oleh golongan masyarakat hari ini. Maksud sebenar keberanian wanita bukanlah seperti mana yang dibawa dalam kajian di dalam buku Dr Norhayati ini. 




Apapun, bagi saya, Persuratan Baru sangat baik dalam mengangkat karya sebagai cerminan budaya bangsa, namun pendekatan yang lebih murni dan hikmah perlu diberi perhatian agar penerimaan sarwajagat lebih terbuka dan menyeluruh. Umpama yang tertulis dalam surah Al-Asr;

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman, dan yang beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

No comments:

Post a Comment