Uniknya sebuah naskhah drama berbanding karya lain adalah kerana digerakkan oleh dialog. Kuasa dialog amat besar dalam menyampaikan pemikiran atau gagasan pengarang yang dimainkan oleh pelakon (watak-watak) untuk berinteraksi dan menerbitkan emosi yang berkesan. Sebuah naskhah drama yang baik dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik di sini bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan marah, gembira, lucu, dan lain-lain. Kandungan unsur suspens dan ketegangan pula menambahkan rasa ingin tahu pembaca.
Dalam era serba moden ini, masyarakat lebih gemar kepada drama yang lebih santai dan mengundang tawa. Lantas, drama komedi menjadi pilihan hujung minggu untuk penonton berhibur menikmati drama berunsur jenaka di stesen televisyen tempatan. Sayangnya, apabila permintaan terhadap drama komedi semakin bertambah, ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk mengaut untung berganda sehingga mengenepikan unsur pengajaran yang sepatutnya menjadi intipati utama. Hasilnya, lambakan drama komedi yang menghidangkan lawak 'kosong', hanya sekadar mengundang hilai tawa dan airmata penonton. Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa setiap drama pasti ada nilai dan mesej yang ingin disampaikan, namun terletak pada penonton itu sendiri untuk menilai. Penonton yang malas berfikir hanya menerima sebagai suatu bahan penghilang lelah sesudah bekerja. Bagi pandangan saya secara peribadi, drama komedi sememangnya ada mesej nasihat yang tersirat tapi diterjemahkan sebagai sindiran melalui dialog yang diungkap. Mungkin, ada yang beranggapan drama yang 'sampah' apabila kecewa dengan lakonan pelakon dengan aksi melampau atau cuba untuk melawak tapi tidak memberikan kesan jenaka. Stigma penonton yang tebal melabelkan drama komedi 'wajib' mengundang ketawa penonton tanda mereka akan rasa terhibur.
Tambahan pula, kita dapat lihat drama komedi seolah-olah menjadi sajian utama pihak stesen televisyen terutama pada hari perayaan. Buktinya, pada malam dan sepanjang minggu Hari Raya Aidilfitri, drama seperti Senario Misteri Malam Raya, Bahulu Bangkit dan seumpamanya menghiasi tontonan seisi rumah. Selain itu, drama yang mengangkat dialek negeri turut menjadi kegemaran penonton untuk dikategorikan sebagai drama komedi. Misalnya 3T 3Dara di RTM yang menceritakan 3 wanita berdialek Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan. Cerita Pah Bedah di TV3 watak orang gaji berdialek Perak lakonan Elli Suriatie berjaya mendapat sambutan yang hangat, begitu jua Sorok Bau Budu di Astro lakonan Zulhuzaimy dan Sabri Yunus yang mengangkat dialek Kelantan.
Artis veteran (baik yang hidup atau sudah kembali ke rahmatullah) seringkali tidak pernah mengecewakan dengan aksi humor dan membuatkan penonton terhibur antaranya Mr Os, Jaafar Onn, Salleh Yaakub, Jalil Hamid, Hamid Gurkha, Kusza, Ebby Yus, Mak Jah, Ruminah Sidek, arwah Ismail Din, arwah Din Beramboi, arwah Shukery Hashim, arwah Osman Kering, arwah M.Rajoli, arwah Ali Mamak, arwah Ahmad Busu, arwah Azean Irdawaty, arwah Yusni Jaafar, arwah Maimon Mutalib dan lain-lain lagi.
Melalui pemerhatian saya, MF Kencana antara penulis muda yang aktif menulis karya komedi yang 'berisi'. Bedah Tong Gas, Bila Joyah Dah Goyah, Joyah v Goyah, Bila Joyah Masuk TV. Ceritanya sarat sindiran pedas yang hampir dengan masyarakat. Hasilnya, drama Bila Joyah Dah Goyah telah menerima Anugerah Lakon TV dan skrip Drama Komedi Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2014. Labuna Labuni & Enot; dua drama lakonan awal yang telah mengangkat nama Enot dalam drama komedi. Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Salam Pantai Timur dan Senario antara komedi yang memberi kesan kuat kepada penonton sehingga ke hari ini. Siaran baru Astro Warna yang membawa drama komedi merupakan satu langkah memenuhi citarasa penonton generasi hari ini seperti Beraya di Bulan Syaaban, Zaharil v Zarina, Manaf ASTRO, Mujibur Mari, Geng Bas Sekolah, Oh My English dan banyak lagi. Rentetan dari itu, Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan yang terbaru Anugerah Lawak Warna mengangkat genre komedi ke taraf yang lebih tinggi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa penerimaan masyarakat terhadap drama komedi semakin bertambah. Namun, drama yang hanya mengangkat nama-nama besar pelawak sebagai sandaran utama tanpa memberikan tumpuan terhadap mesej yang jelas membuatkan khalayak berpandangan bahawa karya tersebut hanya hiburan semata-mata yakni apabila nilai-nilai kemanusiaan gagak menyerlah untuk membuatkan penonton berfikir. Impaknya, masayarakat menerima sebagai bahan lawak bukan menyelami buah/isi lawak yang ditafsirkan dalam bentuk nilai tauladan. Cara bagaimana masyarakat memahami isi dan keadaan yang dicerap secara hikmah adalah penentu kejayaan sesuatu karya komedi itu diangkat sebagai karya sarat pengajaran. Sebetulnya, drama komedi amat sesuai ditonton oleh semua lapisan umur sebagai hidangan hiburan yang mengkritik dan memberi nasihat melalui sindiran dialog yang bermutu. Kajian dan pemerhatian yang meluas amat diperlukan bagi seorang karyawan untuk mengritik realiti masyarakat seolah-olah penonton sentap serta merasakan sindiran yang tepat untuk betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.
|
Thursday, 27 November 2014
Drama Komedi : Teks Hiburan Semata ?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment