Wednesday, 26 November 2014

Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden : Solehah Ishak



"Oh, macam tu saja cerita ni.. Aduhai.. Klise sangat..



"Eh, takkan habis macam ni? Siapa sebenarnya yang fitnah Tuan Haji? Rasanya Mak Cik Jie tu la.."



"Kejap, aku tak faham la, yang tadi tu kan si Fahmi beritahu kawan serumahnya yang dia rindukan sepasang but bola. Tapi, dia tak pernah main bola pun sejak kecil lagi. Bola apa yang dimaksudkan tu? Tiba-tiba pula ada cerita jirannya lemas dalam mimpi dia masa malam dia dirasuk makhluk ghaib. Pening aku nak faham cerita ni.."





Haa, lama tak bersua. Bertemu lagi kita pada entri kali ini. Mesti terkejut kan, tiba-tiba limpahan dialog macam lah nak tulis skrip drama. Hehe. Baiklah, kita teruskan perkongsian kita minggu ini. Petikan dialog kata di atas tu bukanlah skrip drama sebenarnya, tapi antara reaksi yang diluahkan apabila seseorang baru selesai membaca teks drama yang dihasilkan penulis. Macam-macam reaksi; ada yang kata senang sangat jalan cerita, tak mencabar sebab plot tidak dimainkan dengan pelbagai konflik. Ada juga yang berselisih pendapat memberikan andaian masing-masing apabila tahu bahawa cerita tergantung tanpa jawapan.   


Dahiri Saini

Dalam sesebuah drama, teks dijadikan sebagai ekspresi rasa oleh pengarang. Pengarang menjadikan teks sebagai medan meluahkan variasi perasaan seperti rasa sayu, gembira, marah, benci, kelakar dan lain-lain. Ekspresi rasa yang diluahkan pengarang dalam sesebuah teks secara tidak langsung dapat menggambarkan pemikiran, falsafah dan pegangan yang dibawa oleh pengarang tersebut. Mengenali dengan lebih dekat latarbelakang pengarang memberi satu kelebihan dalam memahami teks yang digarap ibarat pepatah "tak kenal, maka tak cinta". Gaya hidup dan budaya yang berada di sekeliling pengarang kebiasaanya dibawa dalam teks drama. Misalnya, Dahiri Saini seorang penulis kelahiran Sarawak banyak membawa corak budaya masyarakat dan dialek Sarawak dalam drama beliau. Justeru, teks drama boleh dianggap sebagai satu gambaran, ekspresi serta cerminan yang memaparkan makna dalam teks.  Makna dalam sesebuah teks menurut Solehah Ishak dapat diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu teks deklaratif, teks imperatif dan teks interogatif.




Teks deklaratif memaparkan cerita secara langsung '(straight to the point)' atau dengan kata lain mesej yang cuba disampaikan mudah difahami oleh pembaca dan mengemukakan jalan penyelesaian yang jelas dan tersurat. Teks sebegini selalu digunakan oleh pengarang bagi cerita lagenda, hikayat dan realiti masyarakat. Oleh yang demikian, cerita sebegini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Teks ini menggunakan teknik penceritaan yang baik dan lancar dari awal hingga akhir cerita sehingga dapat dihayati dengan baik.




Berbeza dengan teks deklaratif, teks imperatif memaparkan cerita yang benar-benar berlaku dalam masyarakat (realisme) dan tidak mengemukakan jalan penyelesaian yang pasti. Pengarang menggunakan simbol dan perlambangan` untuk menggambarkan sesuatu secara tersurat. Persoalan demi persoalan ditimbulkan sebagai kekuatan di dalam teks. Keadaan ini memberi ruang kepada khalayak untuk menginterpretasikan pengakhiran cerita mengikut tanggapan sendiri. 





Manakala teks interogatif menghidangkan plot cerita yang kompleks bersama iringan konflik yang pelbagai. Teks ini terkandung cerita yang berlapis-lapis seperti cerita dalam cerita, drama dalam drama, simbol dalam simbol dan sebagainya yang benar-benar menguji kefahaman dan tafsiran terhadap teks drama tersebut. Kebiasaannya, himpunan dialog berfalsafah, kiasan yang tinggi makna menjadi tarikan pembaca untuk terus teruja menikmati jalan cerita. Adakalanya, pembaca terpana dan tersenyum sendirian bukan kerana jenaka kosong dan peristiwa yang hampir dengan pembaca di dalam teks ini, tapi bait-bait kata yang seakan-akan mempersenda khalayak.  Menggunakan nilai absurd (aneh, tidak realistik), teks drama ini boleh dikatakan sebagai teks yang berat berintikan makna tersurat dan tersirat kepada khalayak.  





Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa teks dan persembahan adalah dua perkara yang berbeza. Teks deklaratif yang mudah difahami seandainya digarap dengan pementasan yang kreatif mampu mengubah persepsi penonton yang menganggap mungkin teks ini adalah berbentuk imperatif. Nilai dramatis dengan bantuan pencahayaan, susunan muzik dan pelakon mampu memberikan emosi dan 'nyawa' kepada pementasan yang dirasai oleh penonton. Bukan setakat itu sahaja, setiap pembaca yang mengamati teks juga akan dapat menentukan jenis teks yang mungkin berbeza berdasarkan sudut pandang yang berbeza. Perbezaan ini akan mewarnai lagi nilai sastera apabila penggemblengan disiplin ilmu yang diadun dari pelbagai perspektif yang menarik. Bagi saya sendiri, apapun jua teks yang dibawa pengarang, kita sebagai khalayak menjadi penentu untuk mengangkat karya tersebut berbekalkan budaya pemikiran dan nilai ilmu yang sedia ada. Saya amat terbuka menerima kepelbagaian hidangan teks dan pementasan dalam apa jua bentuk, akan tetapi lebih meminati teks imperatif kerana lebih memberi nilai dan mesej yang menggunakan lambang sebagai kiasan yang tersirat makna. Adakah pilihan anda sama dengan citarasa saya? Tepuk dada, tanya akal. 

No comments:

Post a Comment