Uniknya sebuah naskhah drama berbanding karya lain adalah kerana digerakkan oleh dialog. Kuasa dialog amat besar dalam menyampaikan pemikiran atau gagasan pengarang yang dimainkan oleh pelakon (watak-watak) untuk berinteraksi dan menerbitkan emosi yang berkesan. Sebuah naskhah drama yang baik dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik di sini bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan marah, gembira, lucu, dan lain-lain. Kandungan unsur suspens dan ketegangan pula menambahkan rasa ingin tahu pembaca.
Dalam era serba moden ini, masyarakat lebih gemar kepada drama yang lebih santai dan mengundang tawa. Lantas, drama komedi menjadi pilihan hujung minggu untuk penonton berhibur menikmati drama berunsur jenaka di stesen televisyen tempatan. Sayangnya, apabila permintaan terhadap drama komedi semakin bertambah, ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk mengaut untung berganda sehingga mengenepikan unsur pengajaran yang sepatutnya menjadi intipati utama. Hasilnya, lambakan drama komedi yang menghidangkan lawak 'kosong', hanya sekadar mengundang hilai tawa dan airmata penonton. Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa setiap drama pasti ada nilai dan mesej yang ingin disampaikan, namun terletak pada penonton itu sendiri untuk menilai. Penonton yang malas berfikir hanya menerima sebagai suatu bahan penghilang lelah sesudah bekerja. Bagi pandangan saya secara peribadi, drama komedi sememangnya ada mesej nasihat yang tersirat tapi diterjemahkan sebagai sindiran melalui dialog yang diungkap. Mungkin, ada yang beranggapan drama yang 'sampah' apabila kecewa dengan lakonan pelakon dengan aksi melampau atau cuba untuk melawak tapi tidak memberikan kesan jenaka. Stigma penonton yang tebal melabelkan drama komedi 'wajib' mengundang ketawa penonton tanda mereka akan rasa terhibur.
Tambahan pula, kita dapat lihat drama komedi seolah-olah menjadi sajian utama pihak stesen televisyen terutama pada hari perayaan. Buktinya, pada malam dan sepanjang minggu Hari Raya Aidilfitri, drama seperti Senario Misteri Malam Raya, Bahulu Bangkit dan seumpamanya menghiasi tontonan seisi rumah. Selain itu, drama yang mengangkat dialek negeri turut menjadi kegemaran penonton untuk dikategorikan sebagai drama komedi. Misalnya 3T 3Dara di RTM yang menceritakan 3 wanita berdialek Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan. Cerita Pah Bedah di TV3 watak orang gaji berdialek Perak lakonan Elli Suriatie berjaya mendapat sambutan yang hangat, begitu jua Sorok Bau Budu di Astro lakonan Zulhuzaimy dan Sabri Yunus yang mengangkat dialek Kelantan.
Artis veteran (baik yang hidup atau sudah kembali ke rahmatullah) seringkali tidak pernah mengecewakan dengan aksi humor dan membuatkan penonton terhibur antaranya Mr Os, Jaafar Onn, Salleh Yaakub, Jalil Hamid, Hamid Gurkha, Kusza, Ebby Yus, Mak Jah, Ruminah Sidek, arwah Ismail Din, arwah Din Beramboi, arwah Shukery Hashim, arwah Osman Kering, arwah M.Rajoli, arwah Ali Mamak, arwah Ahmad Busu, arwah Azean Irdawaty, arwah Yusni Jaafar, arwah Maimon Mutalib dan lain-lain lagi.
Melalui pemerhatian saya, MF Kencana antara penulis muda yang aktif menulis karya komedi yang 'berisi'. Bedah Tong Gas, Bila Joyah Dah Goyah, Joyah v Goyah, Bila Joyah Masuk TV. Ceritanya sarat sindiran pedas yang hampir dengan masyarakat. Hasilnya, drama Bila Joyah Dah Goyah telah menerima Anugerah Lakon TV dan skrip Drama Komedi Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2014. Labuna Labuni & Enot; dua drama lakonan awal yang telah mengangkat nama Enot dalam drama komedi. Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Salam Pantai Timur dan Senario antara komedi yang memberi kesan kuat kepada penonton sehingga ke hari ini. Siaran baru Astro Warna yang membawa drama komedi merupakan satu langkah memenuhi citarasa penonton generasi hari ini seperti Beraya di Bulan Syaaban, Zaharil v Zarina, Manaf ASTRO, Mujibur Mari, Geng Bas Sekolah, Oh My English dan banyak lagi. Rentetan dari itu, Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan yang terbaru Anugerah Lawak Warna mengangkat genre komedi ke taraf yang lebih tinggi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa penerimaan masyarakat terhadap drama komedi semakin bertambah. Namun, drama yang hanya mengangkat nama-nama besar pelawak sebagai sandaran utama tanpa memberikan tumpuan terhadap mesej yang jelas membuatkan khalayak berpandangan bahawa karya tersebut hanya hiburan semata-mata yakni apabila nilai-nilai kemanusiaan gagak menyerlah untuk membuatkan penonton berfikir. Impaknya, masayarakat menerima sebagai bahan lawak bukan menyelami buah/isi lawak yang ditafsirkan dalam bentuk nilai tauladan. Cara bagaimana masyarakat memahami isi dan keadaan yang dicerap secara hikmah adalah penentu kejayaan sesuatu karya komedi itu diangkat sebagai karya sarat pengajaran. Sebetulnya, drama komedi amat sesuai ditonton oleh semua lapisan umur sebagai hidangan hiburan yang mengkritik dan memberi nasihat melalui sindiran dialog yang bermutu. Kajian dan pemerhatian yang meluas amat diperlukan bagi seorang karyawan untuk mengritik realiti masyarakat seolah-olah penonton sentap serta merasakan sindiran yang tepat untuk betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.
|
Thursday, 27 November 2014
Drama Komedi : Teks Hiburan Semata ?
Wednesday, 26 November 2014
Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden : Solehah Ishak
"Oh, macam tu saja cerita ni.. Aduhai.. Klise sangat..
"Eh, takkan habis macam ni? Siapa sebenarnya yang fitnah Tuan Haji? Rasanya Mak Cik Jie tu la.."
"Kejap, aku tak faham la, yang tadi tu kan si Fahmi beritahu kawan serumahnya yang dia rindukan sepasang but bola. Tapi, dia tak pernah main bola pun sejak kecil lagi. Bola apa yang dimaksudkan tu? Tiba-tiba pula ada cerita jirannya lemas dalam mimpi dia masa malam dia dirasuk makhluk ghaib. Pening aku nak faham cerita ni.."
Haa, lama tak bersua. Bertemu lagi kita pada entri kali ini. Mesti terkejut kan, tiba-tiba limpahan dialog macam lah nak tulis skrip drama. Hehe. Baiklah, kita teruskan perkongsian kita minggu ini. Petikan dialog kata di atas tu bukanlah skrip drama sebenarnya, tapi antara reaksi yang diluahkan apabila seseorang baru selesai membaca teks drama yang dihasilkan penulis. Macam-macam reaksi; ada yang kata senang sangat jalan cerita, tak mencabar sebab plot tidak dimainkan dengan pelbagai konflik. Ada juga yang berselisih pendapat memberikan andaian masing-masing apabila tahu bahawa cerita tergantung tanpa jawapan.
Dahiri Saini |
Dalam sesebuah drama, teks dijadikan sebagai ekspresi rasa oleh pengarang. Pengarang menjadikan teks sebagai medan meluahkan variasi perasaan seperti rasa sayu, gembira, marah, benci, kelakar dan lain-lain. Ekspresi rasa yang diluahkan pengarang dalam sesebuah teks secara tidak langsung dapat menggambarkan pemikiran, falsafah dan pegangan yang dibawa oleh pengarang tersebut. Mengenali dengan lebih dekat latarbelakang pengarang memberi satu kelebihan dalam memahami teks yang digarap ibarat pepatah "tak kenal, maka tak cinta". Gaya hidup dan budaya yang berada di sekeliling pengarang kebiasaanya dibawa dalam teks drama. Misalnya, Dahiri Saini seorang penulis kelahiran Sarawak banyak membawa corak budaya masyarakat dan dialek Sarawak dalam drama beliau. Justeru, teks drama boleh dianggap sebagai satu gambaran, ekspresi serta cerminan yang memaparkan makna dalam teks. Makna dalam sesebuah teks menurut Solehah Ishak dapat diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu teks deklaratif, teks imperatif dan teks interogatif.
Berbeza dengan teks deklaratif, teks imperatif memaparkan cerita yang benar-benar berlaku dalam masyarakat (realisme) dan tidak mengemukakan jalan penyelesaian yang pasti. Pengarang menggunakan simbol dan perlambangan` untuk menggambarkan sesuatu secara tersurat. Persoalan demi persoalan ditimbulkan sebagai kekuatan di dalam teks. Keadaan ini memberi ruang kepada khalayak untuk menginterpretasikan pengakhiran cerita mengikut tanggapan sendiri.
Manakala teks interogatif menghidangkan plot cerita yang kompleks bersama iringan konflik yang pelbagai. Teks ini terkandung cerita yang berlapis-lapis seperti cerita dalam cerita, drama dalam drama, simbol dalam simbol dan sebagainya yang benar-benar menguji kefahaman dan tafsiran terhadap teks drama tersebut. Kebiasaannya, himpunan dialog berfalsafah, kiasan yang tinggi makna menjadi tarikan pembaca untuk terus teruja menikmati jalan cerita. Adakalanya, pembaca terpana dan tersenyum sendirian bukan kerana jenaka kosong dan peristiwa yang hampir dengan pembaca di dalam teks ini, tapi bait-bait kata yang seakan-akan mempersenda khalayak. Menggunakan nilai absurd (aneh, tidak realistik), teks drama ini boleh dikatakan sebagai teks yang berat berintikan makna tersurat dan tersirat kepada khalayak.
Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa teks dan persembahan adalah dua perkara yang berbeza. Teks deklaratif yang mudah difahami seandainya digarap dengan pementasan yang kreatif mampu mengubah persepsi penonton yang menganggap mungkin teks ini adalah berbentuk imperatif. Nilai dramatis dengan bantuan pencahayaan, susunan muzik dan pelakon mampu memberikan emosi dan 'nyawa' kepada pementasan yang dirasai oleh penonton. Bukan setakat itu sahaja, setiap pembaca yang mengamati teks juga akan dapat menentukan jenis teks yang mungkin berbeza berdasarkan sudut pandang yang berbeza. Perbezaan ini akan mewarnai lagi nilai sastera apabila penggemblengan disiplin ilmu yang diadun dari pelbagai perspektif yang menarik. Bagi saya sendiri, apapun jua teks yang dibawa pengarang, kita sebagai khalayak menjadi penentu untuk mengangkat karya tersebut berbekalkan budaya pemikiran dan nilai ilmu yang sedia ada. Saya amat terbuka menerima kepelbagaian hidangan teks dan pementasan dalam apa jua bentuk, akan tetapi lebih meminati teks imperatif kerana lebih memberi nilai dan mesej yang menggunakan lambang sebagai kiasan yang tersirat makna. Adakah pilihan anda sama dengan citarasa saya? Tepuk dada, tanya akal.
Monday, 24 November 2014
Cabaran Islam Liberal
Sejak berperanan di atas muka bumi ini, Islam seringkali diasak dengan pelbagai dakwaan yang tidak benar. Kehadiran pelbagai bentuk ajaran sesat yang membimbangkan telah menular secara berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Walaubagaimanapun, ramai kurang prihatin akan ancaman yang jauh lebih bahaya dalam memesongkan akidah, tauhid Islami serta fitrah kemanusiaan itu sendiri yang wujud dalam Islam Liberal.
Puncanya, ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan al-Quran as-Sunnah melalui aliran pemikiran moden yang meletakkan falsafah Islam berpaksikan logik akal seiring pemikiran barat pastinya memesongkan akidah hingga menjadi 'pakaian' dan 'sajian' kehidupan umat hari ini.
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوّاً شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوراً وَلَوْ شَاء رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. "
Ayat di atas menjelaskan bahawa Islam akan dimusuhi oleh manusia berhati syaitan dengan kata-kata yang dihias menarik bertujuan memperdayakan umatnya. Oleh itu, sebagai orang yang beriman, umat Islam haruslah berpegang teguh kepada Quran dan Sunnah serta pandangan ulama dalam amalan seharian. Islam sebuah agama yang menyeluruh; bukan hanya membebaskan manusia daripada belenggu penyembahan sesama makhluk, tetapi membebaskan juga dari penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia. Islam juga memiliki dasar yang terbuka terhadap peradaban manusia selagi mana tidak melibatkan syirik yang menyekutukan Allah, perbuatan yang menyalahi syari‘at-Nya dan kepercayaan khurafat yang merendahkan kedudukan manusia ke taraf kebinatangan.
Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan Islam Liberal? Maksudnya penambahan kata ‘Liberal’ pada Islam yang sudah sememangnya liberal adalah sesuatu yang diada-adakan, bersifat tidak tulen dan meniru-niru pengaruh luar serta menunjukkan unsur-unsur tidak memahami seluruh konsep dalam Islam itu sendiri.
Jawapannya dapat kita lihat sendiri pada penambahan perkataan “Liberal” kepada Islam yang sememangnya sudah liberal. Ertinya fahaman ini mengkehendaki ciri keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang sedia ada dalam syari‘at Islam yang asli lagi tulen.
Gambar di atas jelas menunjukkan kebiadapan golongan liberal yang melawan ajaran agama. Peristiwa seorang wanita yang bernama Amina Wadud, wanita pertama yang mengimamkan Solat Jumaat di New York pada tahun 2005, kemudian di England pada tahun 2008 merupakan satu tindakan mempersenda ajaran agama Islam di mana wanita tidak boleh menjadi imam kepada makmum lelaki apatah lagi imam untuk solat Jumaat. Profesor yang pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) ini juga dengan terbuka mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan beberapa ayat Quran terutama perihal memotong tangan dalam hukum hudud kerana menganggap hukuman ini adalah perbuatan yang zalim. Beliau juga menolak beberapa hukum lain yang terkandung di dalam al-Quran. Maka, pengaruh kuat beliau telah membawa kepada penubuhan kumpulan Sister In Islam (S.I.S).Buktinya, buku hasil karangan beliau " Quran and Woman - Rereading the sacred text from a Woman's Perspective" yang di haramkan di Arab Saudi menjadi kitab rujukan S.I.S.
Berhubung soal akidah, golongan liberal mendakwa al-Quran adalah karangan Tuhan dan manusia dengan maksud meragui ketulenan dan kesucian Kalamullah tersebut. Tambahan pula, mereka mengatakan bahawa semua agama adalah sama yang menuju kepada kebenaran. Maka, Islam adalah bukan agama yang paling benar. Kemudian, dikatakan amalan bukan Muslim turut diterima Allah serta tiada larangan untuk seseorang Muslim murtad dan mengamalkan agama lain. Soal feqah pula, mereka mempertahankan bahawa muslimat yang tidak bertudung tidak dianggap mengingkari ajaran agama kerana rambut bukanlah sebahagian daripada aurat. Homoseksual adalah ciptaan Tuhan secara semulajadi. Maka, halal untuk diamalkan. Lebih menyedihkan, dakwa mereka lelaki turut mempunyai tempoh edah seperti wanita selama 130 hari serta seorang isteri boleh menjatuhkan talak kepada suami. AllahuAkbar, musibah apa yang melanda umat hari ini sehingga pemikiran diracuni doktrin Yahudi laknatullah? Sudah terang lagi bersuluh, liberalisme bertentangan dengan ajaran agama Islam. Marilah kita kembali ke pangkuan Allah kerana dari Dia kita datang, kepada Dia jua kita kembali.
Semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan kita. Amin.
Wednesday, 19 November 2014
"I Want to Touch a Dog" : Kesedaran atau Penghinaan ?
Syed Azmi Alhabshi, namanya mula meniti
di bibir masyarakat lantaran program kontroversi yang dianjurkan iaitu “I Want
to Touch a Dog”. Inspirasi ini tercetus selepas beliau menonton sebuah video
yang memaparkan seorang buta dihalau hanya kerana memelihara seekor anjing. Timbul persoalan di
minda, "di mana timbang tara yang diletakkan untuk menganjurkan acara ini sehingga telah menyalakan api kemarahan umat Islam? Benarkah acara memasyarakatkan kemesraan dengan
anjing ini mampu memperbetul persepsi negatif terhadap haiwan?"
Anjing tetap haram untuk disentuh tanpa sebarang sebab. Penerangan perlu diberi secara ‘perlahan’ agar masyarakat tidak terkejut dan memberi tafsiran yang salah. Berikutan isu ini, ternyata penganjur gagal memberikan kefahaman yang jelas, malah tiada pemantauan menyeluruh dijalankan agar masyarakat tidak keliru. Pada satu sudut pandang yang lain, berkemungkinan wujud satu agenda dalam menyesatkan umat Islam negara ini dengan membawa fahaman liberalisme agar kukuh tertanam dalam pemikiran umat. Para ahli akademik turut sependapat menyatakan bahawa acara ini sengaja diadakan untuk mencabar perundangan Islam serta ingin melihat sejauh mana umatnya memahami dan menghayati agama Islam yang syumul ini. Umat Islam bagaikan boneka yang diperalat oleh mainan sandiwara golongan bertopengkan syaitan dengan cubaan mengilmiahkan kebohongan. Inilah jarum halus yang sedang menyucuk secara diam dalam fikiran umat Islam. Haram tetap haram. Adakah kita boleh memakan daging anjing dengan alasan bahawa anjing itu telah disembelih mengikut cara Islam?. Menghalalkan yang haram takkan membawa perubahan dalam agama. Jangan sesekali mencabar hukum Tuhan.
Bodoh. Biadap. Melampau. Itu
antara bait-bait kata yang terpacul keluar dari mulut mereka yang terkejut melihat
gambar orang Islam yang berbangga memeluk anjing terpapar di alam maya. Rakyat seakan
tersentak dan hairan tentang apa sebenarnya yang berlaku. Sehari demi sehari ,ada
sahaja isu yang menyentuh sensitiviti perkauman dan agama. Mengapa kedamaian ikatan perpaduan yang kita perjuangkan selama ini,
tapi kini kita sendiri yang leraikan? Ingat, sarang tebuan jangan sesekali dijolok, kelak pasti memakan diri.
Sejujurnya, saya kaku seketika apabila
melihat sekeping gambar seorang budak perempuan yang manis bertudung sedang memeluk dan
mencium seekor anjing. Bahana apa yang telah menular dan meracuni minda anak
kecil yang suci ini? Di mana ibu bapa kanak-kanak ini ketika dia tanpa ada rasa takut
memeluk erat anjing tersebut seperti seekor kucing. Di sini terbukti betapa kepincangan acara ini yang gagal memberi kefahaman jelas kepada masyarakat. Mungkin pendirian penganjur sekadar ingin
menunjukkan betapa Islam mengajar umatnya menyayangi terhadap semua binatang
tanpa membezakan walaupun binatang itu haram disentuh. Saya tidak
menafikan bahawa Islam tidak pernah diskriminasi dengan haiwan tetapi matlamat
tidak menghalalkan cara. Kononnya untuk membuang stigma orang Muslim dengan
iringan cerita seorang yang dijanjikan syurga setelah memberi minum kepada seekor anjing dengan kasutnya.
Pada pandangan saya, penganjur perlu mendapatkan pandangan alim ulama untuk membuat
sesuatu perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan agama. Bukan boleh buat ikut suka dan melulu saja, sekadar nak dapatkan
publisiti murahan. Hukum Tuhan tidak boleh dibandingkan dengan logik akal
manusia. Hukum Tuhan sentiasa kekal, benar dan tidak boleh disanggah biarpun zaman berubah mengikut peredaran masa .
Sebenarnya banyak lagi program
bermanfaat yang boleh diadakan. Penekanan ilmu terhadap hukum menyentuh
anjing, cara bersuci dan perkara yang berkaitan lebih sesuai untuk
diperhidangkan kepada umum agar yang buntu dapat dibantu, yang pasti lagi
mengerti. Memadai sekadar menimbulkan kesedaran, tidak perlu jadikan anjing sebagai bahan pelukan. Saya
meyakini bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ternyata, isu ini
telah membuka mata masyarakat khususnya umat Islam agar lebih peka dan
bersedia menghadapai provokasi Barat yang sedang menular untuk mengaburi fikrah umat
dari landasan agama yang sebenar. Oleh itu, kita sebagai khalifah yang dihantar
ke atas muka bumi berperanan untuk menyuluhkan cahaya dari kegelapan. Islam itu
mudah, tapi bukannya untuk kita berlebihan memudahkan sesuka hati. Setiap segala sesuatu
perkara perlu dirujuk kepada Quran, Hadis dan para ulama yang muktabar agar tidak terpesong
jauh. Tidak sampai sehari, telah wujud laman FB "Kami
Menentang program "I Want to Touch a Dog", malahan program "I Want to Touch Quran" menyusul
sebagai tindakbalas yang baik terhadap program ini.
Sememangnya, terdapat khilaf
mengenai perkara ini mengikut mazhab tertentu. Misalnya, mazhab Syafiei mengatakan
anjing itu sebagai najis (paling berat –mughollazoh ) berlawanan pula dengan mazhab
Maliki yang tidak menganggap anjing sebagai bukan najis. Di mana letaknya malu kita pada Tuhan dan adab kita terhadap
ulama apabila sengaja memeluk anjing tanpa sebab ?
Saya merasakan kita perlu lebih
berhati-hati dalam menyuarakan sesuatu yang berkaitan dengan agama. Jangan
biarkan lidah yang berbicara menjadi pedang menyelar leher sendiri. Setiap
butir kata yang diungkap menjadi saksi di akhirat sana. Hukum Allah mesti
ditegakkan dan menjadi tunjang dalam hal ehwal agama. Media,
kerajaan, ulama hatta masyarakat sendiri perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu
yang melibatkan sensitiviti agama. Sistem perundangan, kawalan maklumat dan
ilmu pengetahuan terhadap agama perlu dijadikan sandaran utama sebagai benteng
keimanan kepada Tuhan Bertaubat dan
meminta maaf secara terbuka adalah jalan terbaik. Saya juga melihat keberanian
ini mungkin telah membuka jalan kepada sesuatu yang lebih buruk lagi akan
berlaku pada masa akan datang, akan tetapi jauh di lubuk hati saya tetap
mengharapkan agar perkara sebegini tidak akan berulang kembali. Jika perkara
ini tidak ditentang, pasti minda kita terjajah sekali lagi. Adakah kita ingin
melihat anak cucu kita nanti membaca bismillah sebelum memegang anjing? Allahu
Akbar, moga-moga kita dijauhkan perkara sebegini.
Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan (Islamic View Of Heritage And Modernity)
Hakikatnya, sains dan agama tidak
mungkin dapat dipisahkan. Hari ini, masyarakat lebih teruja jika sains itu
dapat dibuktikan seterusnya mempunyai kaitan dengan agama. Saya suka mengaitkan tentang
fenomena yang melanda negara iaitu kehilangan MH370. Kejadian ini mungkin
dilihat sebagai suatu yang pelik, namun kajian sains tidak dapat dipisahkan
dengan Pencipta sains itu sendiri. Misalnya, makan dengan tangan yang diajar dalam Islam. Setelah kajian sains berjaya dibuktikan bahawa enzim yang terhasil
dari tangan membantu proses penghadaman, barulah orang mula mengiyakan apa yang diunjurkan dalam Islam. Sains ialah Sunnatullah atau hukum alam ciptaan Allah. Alam ini bergerak dan ditadbir oleh suatu kuasa Yang Maha Hebat dengan sempurna dan tiada cacat cela. KekuasanNya menjangkaui akal fikiran manusia yang terhad. Fitrahnya, Dia menetapkan sesuatu ciptaanNya dengan asbab untuk memudahkan urusan manusia. Misalnya, api itu bersifat panas dan membakar. Namun, harus diingat bahawa Allah Maha Berkuasa, Dia berkuasa untuk menjadikan sesuatu berlawanan mahupun tanpa asbab. Kisah Nabi Ibrahim yang dibakar dalam unggun api besar yang dinyala selama 40 hari namun satu bulu roma Nabi Ibrahim sedikitpun tidak terbakar, malahan Allah menjadikan api tersebut bersifat sejuk dan sejahtera ke atas beliau. Begitu juga kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan nun selama 40 hari tetapi boleh hidup tanpa sebarang asbab (makanan dan udara) untuk beliau terus bernyawa. "Kun Fayakun", jika Allah katakan tidak, maka tidak ada siapa yang mampu melawan kehendak Allah. Memetik kata-kata Kapten Norudin Abdul Majid, "di mana sains berakhir, di situ kekuasaan Allah bermula."
Kegemilangan teks yang kaya ilmu
ini sedang diracuni kepercayaan dan pegangan oleh golongan liberal yang
menginginkan umat Islam membuang sendiri kitab berharga ini tenggelam jauh ke
dasar laut. Kedangkalan pemikiran yang cuba ditusuk merupakan satu agenda
terancang yang disengajakan untuk melihat keruntuhan pemikiran dan kepercayaan
orang Islam. Mereka mempercayai segala kandungan turath, akan tetapi keegoan mereka yang ingin memesongkan kiblat pegangan umat Islam, ibarat mereka menyuruh kita memakan
ubat ketika sakit sedangkan mereka sendiri yang meminum madu.
Iqra’ yang bermaksud "bacalah", merupakan ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah yang menyeru kebangkitan dari kegelapan kepada cahaya. Ilmu yang disandarkan ini adalah asas utama dalam mendekati ilmu Islam. Bahasa arab pula telah mengungguli ketamadunan seantero dunia. Namun, kehebatan ini dipandang sepi oleh penganut agama Islam sendiri, malahan pelbagai persoalan yang cuba bermain dalam fikiran tentang kebenaran yang perlu
diterima bahawa turath adalah kitab yang perlu menjadi rujukan masa kini ataupun tidak.
Peredaran masa menafikan segala tradisi yang dianggap sebagai ketinggalan zaman
sedangkan mereka tidak sedar bahawa kelahiran tokoh dan cendekiawan ulung Islam
seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, ibnu Battuta dan
ramai lagi yang berjaya membawa kegemilangan Islam gah menguasai 2/3
dunia adalah bukti jelas terhadap keunggulan turath. Kerapuhan fikrah umat sehingga menganggap turath adalah beban sejarah yang tidak lago relevan, maka kita dapat lihat segala kepincangan dan azab yang berlaku dari sehari ke sehari. Perkembangan sains dan teknologi mula disalah guna sebagai medium menabur fitnah, melagakan dua pihak dan menyebarluas video lucah hanya bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum dan agama masyarakat negara ini. Isu sensitiviti agama telah jadi bahan mainan untuk mencabar perundangan Islam seperti isu azan, penggunaan kalimah Allah, transgender, hubungan sejenis, pembuangan kepala babi di masjid dan hak sama rata yang akhirnya menimbulkan kegusaran kepada umat Islam itu sendiri.
Jemaah Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya di sini gempar dengan penemuan sembilan kepala babi yang diletakkan di dua lokasi di masjid itu dalam tempoh 48 jam. |
Dr. Haron Din bertegas akan mempertahankan kalimah Allah. |
Peguam Ng Kian Nam mohon maaf berikutan isu azan kepada seluruh umat Islam. |
Mahkamah membenarkan lelaki Islam berpakaian wanita di Malaysia |
Manusia merancang, Allah jua merancang. Namun, Dialah sebaik-baik perancang yang Maha Berkuasa menetapkan qada' dan qadar seluruh semesta alam ini. Walaupun modeniti mampu memberi satu nafas baru dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara, namun kehadirannya tidak dapat memenuhi keperluan fitrah manusia secara keseluruhannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)