Syed Azmi Alhabshi, namanya mula meniti
di bibir masyarakat lantaran program kontroversi yang dianjurkan iaitu “I Want
to Touch a Dog”. Inspirasi ini tercetus selepas beliau menonton sebuah video
yang memaparkan seorang buta dihalau hanya kerana memelihara seekor anjing. Timbul persoalan di
minda, "di mana timbang tara yang diletakkan untuk menganjurkan acara ini sehingga telah menyalakan api kemarahan umat Islam? Benarkah acara memasyarakatkan kemesraan dengan
anjing ini mampu memperbetul persepsi negatif terhadap haiwan?"
Anjing tetap haram untuk disentuh tanpa sebarang sebab. Penerangan perlu diberi secara ‘perlahan’ agar masyarakat tidak terkejut dan memberi tafsiran yang salah. Berikutan isu ini, ternyata penganjur gagal memberikan kefahaman yang jelas, malah tiada pemantauan menyeluruh dijalankan agar masyarakat tidak keliru. Pada satu sudut pandang yang lain, berkemungkinan wujud satu agenda dalam menyesatkan umat Islam negara ini dengan membawa fahaman liberalisme agar kukuh tertanam dalam pemikiran umat. Para ahli akademik turut sependapat menyatakan bahawa acara ini sengaja diadakan untuk mencabar perundangan Islam serta ingin melihat sejauh mana umatnya memahami dan menghayati agama Islam yang syumul ini. Umat Islam bagaikan boneka yang diperalat oleh mainan sandiwara golongan bertopengkan syaitan dengan cubaan mengilmiahkan kebohongan. Inilah jarum halus yang sedang menyucuk secara diam dalam fikiran umat Islam. Haram tetap haram. Adakah kita boleh memakan daging anjing dengan alasan bahawa anjing itu telah disembelih mengikut cara Islam?. Menghalalkan yang haram takkan membawa perubahan dalam agama. Jangan sesekali mencabar hukum Tuhan.
Bodoh. Biadap. Melampau. Itu
antara bait-bait kata yang terpacul keluar dari mulut mereka yang terkejut melihat
gambar orang Islam yang berbangga memeluk anjing terpapar di alam maya. Rakyat seakan
tersentak dan hairan tentang apa sebenarnya yang berlaku. Sehari demi sehari ,ada
sahaja isu yang menyentuh sensitiviti perkauman dan agama. Mengapa kedamaian ikatan perpaduan yang kita perjuangkan selama ini,
tapi kini kita sendiri yang leraikan? Ingat, sarang tebuan jangan sesekali dijolok, kelak pasti memakan diri.
Sejujurnya, saya kaku seketika apabila
melihat sekeping gambar seorang budak perempuan yang manis bertudung sedang memeluk dan
mencium seekor anjing. Bahana apa yang telah menular dan meracuni minda anak
kecil yang suci ini? Di mana ibu bapa kanak-kanak ini ketika dia tanpa ada rasa takut
memeluk erat anjing tersebut seperti seekor kucing. Di sini terbukti betapa kepincangan acara ini yang gagal memberi kefahaman jelas kepada masyarakat. Mungkin pendirian penganjur sekadar ingin
menunjukkan betapa Islam mengajar umatnya menyayangi terhadap semua binatang
tanpa membezakan walaupun binatang itu haram disentuh. Saya tidak
menafikan bahawa Islam tidak pernah diskriminasi dengan haiwan tetapi matlamat
tidak menghalalkan cara. Kononnya untuk membuang stigma orang Muslim dengan
iringan cerita seorang yang dijanjikan syurga setelah memberi minum kepada seekor anjing dengan kasutnya.
Pada pandangan saya, penganjur perlu mendapatkan pandangan alim ulama untuk membuat
sesuatu perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan agama. Bukan boleh buat ikut suka dan melulu saja, sekadar nak dapatkan
publisiti murahan. Hukum Tuhan tidak boleh dibandingkan dengan logik akal
manusia. Hukum Tuhan sentiasa kekal, benar dan tidak boleh disanggah biarpun zaman berubah mengikut peredaran masa .
Sebenarnya banyak lagi program
bermanfaat yang boleh diadakan. Penekanan ilmu terhadap hukum menyentuh
anjing, cara bersuci dan perkara yang berkaitan lebih sesuai untuk
diperhidangkan kepada umum agar yang buntu dapat dibantu, yang pasti lagi
mengerti. Memadai sekadar menimbulkan kesedaran, tidak perlu jadikan anjing sebagai bahan pelukan. Saya
meyakini bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ternyata, isu ini
telah membuka mata masyarakat khususnya umat Islam agar lebih peka dan
bersedia menghadapai provokasi Barat yang sedang menular untuk mengaburi fikrah umat
dari landasan agama yang sebenar. Oleh itu, kita sebagai khalifah yang dihantar
ke atas muka bumi berperanan untuk menyuluhkan cahaya dari kegelapan. Islam itu
mudah, tapi bukannya untuk kita berlebihan memudahkan sesuka hati. Setiap segala sesuatu
perkara perlu dirujuk kepada Quran, Hadis dan para ulama yang muktabar agar tidak terpesong
jauh. Tidak sampai sehari, telah wujud laman FB "Kami
Menentang program "I Want to Touch a Dog", malahan program "I Want to Touch Quran" menyusul
sebagai tindakbalas yang baik terhadap program ini.
Sememangnya, terdapat khilaf
mengenai perkara ini mengikut mazhab tertentu. Misalnya, mazhab Syafiei mengatakan
anjing itu sebagai najis (paling berat –mughollazoh ) berlawanan pula dengan mazhab
Maliki yang tidak menganggap anjing sebagai bukan najis. Di mana letaknya malu kita pada Tuhan dan adab kita terhadap
ulama apabila sengaja memeluk anjing tanpa sebab ?
Saya merasakan kita perlu lebih
berhati-hati dalam menyuarakan sesuatu yang berkaitan dengan agama. Jangan
biarkan lidah yang berbicara menjadi pedang menyelar leher sendiri. Setiap
butir kata yang diungkap menjadi saksi di akhirat sana. Hukum Allah mesti
ditegakkan dan menjadi tunjang dalam hal ehwal agama. Media,
kerajaan, ulama hatta masyarakat sendiri perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu
yang melibatkan sensitiviti agama. Sistem perundangan, kawalan maklumat dan
ilmu pengetahuan terhadap agama perlu dijadikan sandaran utama sebagai benteng
keimanan kepada Tuhan Bertaubat dan
meminta maaf secara terbuka adalah jalan terbaik. Saya juga melihat keberanian
ini mungkin telah membuka jalan kepada sesuatu yang lebih buruk lagi akan
berlaku pada masa akan datang, akan tetapi jauh di lubuk hati saya tetap
mengharapkan agar perkara sebegini tidak akan berulang kembali. Jika perkara
ini tidak ditentang, pasti minda kita terjajah sekali lagi. Adakah kita ingin
melihat anak cucu kita nanti membaca bismillah sebelum memegang anjing? Allahu
Akbar, moga-moga kita dijauhkan perkara sebegini.
No comments:
Post a Comment