Wednesday, 19 November 2014

Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan (Islamic View Of Heritage And Modernity)









Khalif Muammar telah memberi pandangan yang panjang lebar dalam makalahnya mengenai pandangan Islam terhadap tradisi dan kemodenan. Berdasarkan pandangan yang dilontarkan, saya amat bersetuju dengan kesan arus pemodenan yang maju kehadapan, kewujudan turath semakin dipinggirkan malah dianggap sebagai suatu yang kolot dan tidak wajar lagi untuk dijadikan sebagai panduan. Sikap prejudis masyarakat semakin menebal terhadap himpunan karya ulama silam yang merakam bagaimana Islam difahami dan dipraktikkan berdasarkan kerangka pemikiran Islam.






Hakikatnya, sains dan agama tidak mungkin dapat dipisahkan. Hari ini, masyarakat lebih teruja jika sains itu dapat dibuktikan seterusnya mempunyai kaitan dengan agama. Saya suka mengaitkan tentang fenomena yang melanda negara iaitu kehilangan MH370. Kejadian ini mungkin dilihat sebagai suatu yang pelik, namun kajian sains tidak dapat dipisahkan dengan Pencipta sains itu sendiri. Misalnya, makan dengan tangan yang diajar dalam Islam. Setelah kajian sains berjaya dibuktikan bahawa enzim yang terhasil dari tangan membantu proses penghadaman, barulah orang mula mengiyakan apa yang diunjurkan dalam Islam. Sains ialah Sunnatullah atau hukum alam ciptaan Allah. Alam ini bergerak dan ditadbir oleh suatu kuasa Yang Maha Hebat dengan sempurna dan tiada cacat cela. KekuasanNya menjangkaui akal fikiran manusia yang terhad. Fitrahnya, Dia menetapkan sesuatu ciptaanNya dengan asbab untuk memudahkan urusan manusia. Misalnya, api itu bersifat panas dan membakar. Namun, harus diingat bahawa Allah Maha Berkuasa, Dia berkuasa untuk menjadikan sesuatu berlawanan mahupun tanpa asbab. Kisah Nabi Ibrahim yang dibakar dalam unggun api besar yang dinyala selama 40 hari namun satu bulu roma Nabi Ibrahim sedikitpun tidak terbakar, malahan Allah menjadikan api tersebut bersifat sejuk dan sejahtera ke atas beliau. Begitu juga kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan nun selama 40 hari tetapi boleh hidup tanpa sebarang asbab (makanan dan udara) untuk beliau terus bernyawa. "Kun Fayakun", jika Allah katakan tidak, maka tidak ada siapa yang mampu melawan kehendak Allah. Memetik kata-kata Kapten Norudin Abdul Majid, "di mana sains berakhir, di situ kekuasaan Allah bermula."







Kegemilangan teks yang kaya ilmu ini sedang diracuni kepercayaan dan pegangan oleh golongan liberal yang menginginkan umat Islam membuang sendiri kitab berharga ini tenggelam jauh ke dasar laut. Kedangkalan pemikiran yang cuba ditusuk merupakan satu agenda terancang yang disengajakan untuk melihat keruntuhan pemikiran dan kepercayaan orang Islam. Mereka mempercayai segala kandungan turath, akan tetapi keegoan mereka yang ingin memesongkan kiblat pegangan umat Islam, ibarat mereka menyuruh kita memakan ubat ketika sakit sedangkan mereka sendiri yang meminum madu.








Iqra’ yang bermaksud "bacalah", merupakan ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah yang menyeru kebangkitan dari kegelapan kepada cahaya. Ilmu yang disandarkan ini adalah asas utama dalam mendekati ilmu Islam. Bahasa arab pula telah mengungguli ketamadunan seantero dunia. Namun, kehebatan ini dipandang sepi oleh penganut agama Islam sendiri, malahan pelbagai persoalan yang cuba bermain dalam fikiran tentang kebenaran yang perlu diterima bahawa turath adalah kitab yang perlu menjadi rujukan masa kini ataupun tidak. Peredaran masa menafikan segala tradisi yang dianggap sebagai ketinggalan zaman sedangkan mereka tidak sedar bahawa kelahiran tokoh dan cendekiawan ulung Islam seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, ibnu Battuta dan  ramai lagi yang berjaya membawa kegemilangan Islam gah menguasai 2/3 dunia adalah bukti jelas terhadap keunggulan turath. Kerapuhan fikrah umat sehingga menganggap turath adalah beban sejarah yang tidak lago relevan, maka kita dapat lihat segala kepincangan dan azab yang berlaku dari sehari ke sehari. Perkembangan sains dan teknologi mula disalah guna sebagai medium menabur fitnah, melagakan dua pihak dan menyebarluas video lucah hanya bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum dan agama masyarakat negara ini. Isu sensitiviti agama telah jadi bahan mainan untuk mencabar perundangan Islam seperti isu azan, penggunaan kalimah Allah, transgender, hubungan sejenis, pembuangan kepala babi di masjid dan hak sama rata yang akhirnya menimbulkan kegusaran kepada umat Islam itu sendiri.


Jemaah Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya di sini gempar dengan penemuan sembilan kepala babi yang diletakkan di dua lokasi di masjid itu dalam tempoh 48 jam.

Dr. Haron Din bertegas akan mempertahankan kalimah Allah.

 Peguam Ng Kian Nam mohon maaf berikutan isu azan kepada seluruh umat Islam.
Mahkamah membenarkan lelaki Islam berpakaian wanita di Malaysia


Hakikat yang tidak boleh disangkal, pembangunan dalam Islam adalah lebih menyeluruh mencakupi segenap aspek. Agama dijadikan sebagai paksi utama. Berbeza dengan modeniti, pembangunan menurut Islam tidak hanya mengagungkan material dan fizikal semata-mata, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Walhal, sains dan teknologi bukanlah parameter yang boleh dijadikan kayu ukur kepada sebuah kemajuan. Kemajuan yang sebenar ialah pembangunan yang dapat memberikan implikasi yang baik dan berguna kepada sejagat bukan sebagai alat kepada industri dan tanah air. Meskipun tidak menafikan keperluan pembangunan material, pertumbuhan ekonomi, kemajuan sains dan teknologi, pembangunan menurut Islam lebih memfokuskan ke atas individu dan ilmu. Budaya berfikir dengan akal kurniaan Tuhan tanpa meragui kebesaranNya adalah hasil penerapan nilai ilmu yang bermanfaat . Sains dan teknologi pula tidak dijadikan pemangkin utama kepada kemajuan bahkan sebagai pelengkap yang datang kemudian.  

Manusia merancang, Allah jua merancang. Namun, Dialah sebaik-baik perancang yang Maha Berkuasa menetapkan qada' dan qadar seluruh semesta alam ini. Walaupun modeniti mampu memberi satu nafas baru dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara, namun kehadirannya tidak dapat memenuhi keperluan fitrah manusia secara keseluruhannya.  
 

No comments:

Post a Comment